Sabah Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Setinggan

Bung Moktar Radin (dua dari kiri) diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafri Ariffin (kiri) mendengar taklimat ringkas mengenai mangsa kebakaran Kampung Simunul yang ditempatkan di PPR Bubul Ria. – Foto Utusan

SEMPORNA: Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan secara terperinci hala tuju masyarakat dan perkampungan setinggan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kabinet negeri akan cuba merancang dan mengenal pasti kawasan tanah untuk dijadikan penempatan semula penduduk setinggan yang berstatus warga tempatan di seluruh negeri ini.

“Isu perkampungan setinggan di Sabah terlalu banyak dan kesukaran turut dihadapi oleh kerajaan untuk menentukan status penduduk setinggan sama ada mereka warga tempatan atau bukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Simunul di pusat pemindahan sementara (PPS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria dekat sini hari ini.

Kebakaran yang membabitkan 20 buah rumah itu mengakibatkan 528 orang kehilangan tempat tinggal.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan pembinaan rumah baharu di Kampung Simunul yang terlibat dalam kebakaran pagi kelmarin.

Menurutnya, kawasan setinggan di kampung itu akan dirobohkan bagi membolehkan pembinaan jeti nelayan baharu dibangunkan di kawasan tersebut.

“Kita mendapati penduduk Kampung Simunul ini sepatutnya dipindahkan ke PPR Bubul Ria kerana keadaan rumah di situ tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Apabila mereka berpindah, kerajaan perlu mencari jalan bagaimana untuk membantu mereka memulakan kehidupan baharu kerana kebanyakan mereka ini adalah nelayan. Perkara ini akan kita bincangkan semasa mesyuarat Kabinet negeri pada 7 Mac ini,” katanya.

Berkaitan masalah gangguan bekalan air, Bung Moktar berkata, tinjauan sedang dilakukan oleh konsultan Jabatan Air Negeri Sabah bagi mengenal pasti masalah bekalan air di negeri ini.

Jelasnya, tinjauan akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula minggu depan dan hala tuju baharu kemudahan air di negeri ini akan diumumkan selepas itu. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *