Sabah Akan Bangunkan Aplikasi Daftar Majlis Sosial, Perkahwinan

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membangunkan aplikasi khas sebagai saluran kepada orang ramai untuk mendaftarkan sebarang majlis sebagai makluman kepada kerajaan dalam usaha menangani peningkatan kes Covid-19 yang membabitkan majlis sosial.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu perlu memandangkan penularan kes baharu Covid-19 yang berpunca daripada majlis keramaian semakin bertambah kebelakangan ini.

“Seperti diketahui umum, penularan kes Covid-19 di Sabah adalah berpunca daripada majlis keramaian seperti perkahwinan, kenduri dan majlis sosial lain.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan membangunkan satu aplikasi dalam masa terdekat sebagai saluran orang ramai mendaftarkan sebarang majlis sebagai makluman kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Sementara itu, kerajaan negeri hari ini meminta orang ramai yang pernah berkunjung ke premis Courts Malaysia di Kubota Central, Tawau pada 22 Mac lalu untuk menjalani saringan Covid-19 di klinik kesihatan awam berdekatan.

Masidi berkata, perkara itu ada kaitan dengan kluster baharu, Kubota Central di Tawau yang mencatat dua kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes setakat ini.

“Kes indeks ialah seorang lelaki berumur 25 tahun yang juga jurujual di sebuah premis kelengkapan rumah. Kes indeks disahkan positif selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik pada 29 Mac.

“Saringan di tempat kerja mendapati enam kes positif, manakala dua kes lagi dikesan melalui saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada rakan sekerja. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu yang turut direkodkan di Tawau hari ini dikenal pasti berpunca daripada majlis meminang yang dihadiri kes indeks menyebabkan 10 individu dikesan positif Covid-19 sehingga hari ini.

Kluster Kampung Simpang Tiga, Merotai di Kalabakan dan Tawau itu dikesan selepas seorang wanita berumur 44 tahun bersama anak lelaki berumur 14 tahun dari Kampung Simpang Tiga dikesan positif melalui saringan bergejala.

“Kedua-duanya disahkan positif menerusi saringan bergejala pada 25 Mac lalu dan dimasukkan ke wad perubatan. Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis meminang pada 17 Mac lalu di Kampung Pasir Putih, Tawau.

“Susulan kes itu, seramai 36 orang disaring sejak 28 Mac lalu dengan 10 daripadanya dikesan positif iaitu dua ahli keluarga di Taman Sawit Balung, Tawau dan lapan orang lagi ahli keluarga dari Kampung Simpang Tiga, Merotai,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1788