Jangan Serah Pada Putrajaya, Sabah Patut Kawal Pengurusan Covid-19, Kata Warisan

Menurut Darell, pengalaman menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah kira-kira dua tahun lalu telah mematangkan mereka.

KOTA KINABALU: Pemimpin Warisan hari ini mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) bebas menentukan pengurusan Covid-19 di negeri itu.

Timbalan Presidennya, Darell Leiking menyifatkannya “menyedihkan” kerana pendirian kerajaan GRS itu berpotensi menyebabkan pemulihan ekonomi negeri tertangguh.

Ahli Parlimen Penampang itu mendapati bahkan Sarawak menangani pandemik itu sendiri.

Beliau berkata, ekonomi mula terbuka secara perlahan dengan orang ramai kembali bekerja susulan proses vaksinasi sedang dijalankan.

“Namun, agak menyedihkan apabila beberapa sektor penting di Sabah kini menghadapi ketidakcekapan kerana SOP tidak perlu yang diputuskan kerajaan persekutuan pimpinan PN,” katanya dalam kenyataan.

“SOP tidak perlu ini menyusahkan pekerja di Sabah kerana ia mengurangkan prestasi dan produktiviti mereka di tempat kerja.

“Ketika Sarawak mempunyai jawatankuasa pengurusan bencana negerinya sendiri, GRS membubarkan pusat kawalan Covid-19 Sabah yang ditubuhkan bekas ketua menteri, Shafie Apdal, dan sebaliknya membiarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat semua keputusan untuk Sabah.”

Leiking berkata, kebergantungan langsung terhadap MKN menyebabkan Sabah hilang kemampuannya untuk menguruskan pandemik Covid-19 di negeri itu.

Katanya, ini boleh menimbulkan sedikit keraguan dalam kalangan pelabur minyak dan gas, dengan Sabah paling rugi apabila pelabur itu beralih kepada Sarawak.

Oleh itu, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, ia penting untuk Sabah menguruskan SOP Covid-19 sendiri bagi mengelakkan negeri itu ketinggalan dalam pemilihan ekonomi global.

“Saya faham mengapa kita perlu tampil dengan SOP ini (sendiri), tetapi kerajaan negeri perlu empati dan mengutamakan masalah dihadapi pekerja di Sabah akibat dasar ‘sama untuk semua’ oleh kerajaan pimpinan PN, dan mempertahankan kes mereka.”

Sementara itu, Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun mendakwa GRS terlalu bergantung kepada kerajaan persekutuan dalam perkara berkaitan pengurusan Covid-19 menyebabkan komuniti perniagaan di Sabah menderita.

Katanya, rayuan untuk membenarkan rentas negeri oleh pelbagai persatuan pelancongan dan perhotelan di Sabah kepada kerajaan persekutuan perlu segera ditangani kerajaan negeri.

Beliau berkata, menyedihkan mereka terpaksa merayu terus kepada kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

FMT baru-baru ini melaporkan industri pelancongan dan perhotelan di Sabah berharap kerajaan membatalkan larangan rentas negeri tidak lama lagi kerana sektor itu tidak mampu lagi bertahan jika sekatan itu diteruskan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *