Tawau Catat Dua Kluster Baharu

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Tawau hari ini merekodkan dua kluster baharu COVID-19, masing-masing membabitkan kes indeks calon penjawat awam dan jurujual alat komunikasi.

Kluster Semarak dan Kluster Ranggu itu masing-masing mencatat enam dan lapan kes kumulatif setakat ini yang membabitkan kontak rapat dalam kalangan rakan serumah kes indeks.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Semarak berpunca daripada seorang calon penjawat awam yang disahkan positif selepas menjalani ujian saringan sebelum mendaftar masuk ke pusat latihan di Kota Kinabalu.

Katanya, saringan kontak rapat mendapati lima lagi individu dalam kalangan rakan serumah calon penjawat awam terbabit positif COVID-19, namun punca jangkitan belum diketahui.

“Kluster Ranggu pula dikesan pada 26 Mac apabila kes indeks iaitu jurujual alat komunikasi menjalani saringan bergejala di sebuah klinik. Hasil saringan kontak rapat, tujuh lagi kes positif termasuk rakan serumah dan teman lelaki direkodkan.

“Berdasarkan penelitian kes, jangkitan dipercayai berpunca daripada keluarga kes indeks yang menghadiri kenduri arwah di Taman Semarak pada 20 Mac dan Majlis Graduasi pada 24 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Sabah hari ini merekodkan 41 kes baharu positif COVID-19, manakala seramai 82 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan baki yang masih menjalani rawatan seramai 390 orang.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Tawau hari ini merekodkan jangkitan tertinggi COVID-19 dengan 23 kes, manakala lapan daerah lagi hanya merekodkan antara satu hingga empat kes. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *