Kemasukan Ke Sabah Masih Perlu Jalani RTK-Antigen

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengekalkan keperluan untuk menjalani ujian RTK-Antigen untuk kemasukan ke Sabah.

Bagaimanapun, pengecualian menjalani kuarantin turut diberikan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk kes positif baharu Covid-19 hari ini, kes di Sabah meningkat kepada 60 kes, berbanding 36 kes semalam.

Beliau berkata, sebanyak 16 daerah mencatatkan kes baharu, dengan Keningau mencatatkan kes dua angka dan daerah-daerah lain mencatatkan kes satu angka.

Beliau berkata, daripada 60 kes baharu hari ini, Keningau mencatatkan 26 kes diikuti dengan Kota Belud (6), Tawau (4), Tuaran (4), Kota Kinabalu (3), Kota Marudu (3) dan dua kes di Tenom, Kinabatangan, Papar dan Beluran.

Manakala, satu kes dilaporkan di Kalabakan, Putatan, Nabawan, Kunak, Sipitang dan Tambunan.

Menurutnya, daripada 60 kes positif itu, sebanyak 29 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala tujuh kes, saringan kluster sedia ada satu kes dan 23 kes adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 42 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,510 orang. Manakala, kes kematian di Sabah kekal 387.

Setakat ini, sebanyak 54,355 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 395 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 151 orang di hospital dan 244 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 17 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital, Pusat Tahanan Sementara/Penjara dan PKRC di Sabah 4,253 katil dan peratus penggunaan adalah 9.29 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 41,957 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagi suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech pula, secara kumulatif seramai 1,080 orang telah menerima suntikan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *