Pemuafakatan GRS Supaya Kepentingan Sabah Terus Terbela

Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Pemuafakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sekadar kepentingan untuk rakyat tetapi untuk membina kesatuan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam persekutuan Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah akan terus dihormati sekiranya kuat dan bersatu membawa suara dan perjuangan negeri dan rakyat.

“Ikhtiar kita akan lebih berkesan apabila kita menjadi sebahagian daripada tunjang kekuatan kerajaan Persekutuan.

“Kita bersyukur kerana mempunyai Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang amat prihatin terhadap Sabah. Sejak saya memimpin kerajaan Negeri, Perdana Menteri sentiasa menzahirkan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan untuk membantu Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam GRS, di sini, hari ini.

Beliau turut berkata, sebaik sahaja kerajaan GRS terbentuk, Perdana Menteri telah mengarahkan rundingan segera berhubung hak-hak Sabah termasuk cukai jualan Petronas dan pembentukan Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) dimulakan.

“Sukacita saya maklumkan bahawa Petronas telah pun mula membayar cukai jualan petroleum pada kadar lima peratus sebagaimana yang telah kita tetapkan.

“Begitu juga Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) juga telah dibentuk dan telah bergerak untuk merundingkan dan menanggani segera isu-isu tertangguh,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, sebagai ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, beliau mengemukakan jaminan bahawa suara rakyat Sabah dalam mengutarakan hak-hak negeri bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.

“Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita duduk bersama-sama.

“Setelah hampir 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentiasa,” katanya.

Terdahulu, majlis makan malam itu dihadiri oleh Muhyiddin bersama Pengerusi Badan Perhubungan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *