Isu PATI Sabah: Jangan Hanya Janji Pilihan Raya – Bekas Timbalan KM

Lebih daripada satu perempat penduduk Sabah yang berjumlah 3.91 juta terdiri daripada bukan warganegara walaupun tindakan tegas kerap diambil terhadap PATI.

KOTA KINABALU: Jaminan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bahawa tidak akan ada kompromi dalam menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini adalah sesuatu yang dialu-alukan, tetapi bekas timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew berharap ia bukan sekadar satu lagi janji kosong kerajaan persekutuan.

Liew, yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, beliau teruja untuk melihat jalan penyelesaian yang dirangka kerajaan berhubung masalah pendatang yang tidak berkesudahan di Sabah.

“Rakyat Malaysia di Sabah ingin melihat hasil yang ketara dan menantikan tindakan tegas pihak kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah lama di negeri ini,” katanya.

“Kami berharap pengumuman itu bukan sekadar janji menjelang pilihan raya umum ke-15 yang akan datang.”

Kata-kata perlu dikota dengan tindakan konkrit, katanya.

“Kerajaan harus membuktikan keikhlasannya ingin membantu Sabah mengusir ribuan PATI kembali ke negara asal mereka.

“Jika tidak, janji bahawa tiada kompromi terhadap PATI mungkin hanya klise kerana kita telah mendengar ungkapan umum ini daripada pemimpin negara selama beberapa dekad sejak kemasukan pelarian ekonomi dan pendatang pada 1970-an,” kata Liew.

Semalam, Hamzah berkata kementeriannya dan kerajaan Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan tegas dan tidak lagi berkompromi dalam menangani PATI di negeri ini.

Katanya, langkah itu termasuk mengusir mereka dari Sabah, seperti dilakukan kepada lebih 600,000 pendatang Filipina dan Indonesia sejak 1990.

Liew berkata, beliau turut prihatin dengan laporan daripada Jabatan Perangkaan awal minggu ini yang menganggarkan jumlah penduduk Sabah pada 2021 sekitar 3.91 juta, dengan lebih satu juta bukan warganegara. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *