COVID-19: Hanya Tinggal Tujuh Daerah Zon Merah Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Hanya tujuh daripada 27 daerah di Sabah masih dalam Zon Merah COVID-19, termasuk Keningau yang mencatatkan angka jangkitan baharu tertinggi membabitkan 18 kes, semalam.

Daerah lain ialah Tawau dengan lapan kes baharu, Kota Kinabalu (lima), Kalabakan (lima), Sandakan (dua), Kota Marudu (dua) dan Nabawan (sifar).

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sembilan daerah pula dalam Zon Jingga, iaitu Kudat, Papar, Beluran, Kota Belud, Penampang, Putatan, Kunak dan Kinabatangan.

“Selain itu, Lahad Datu bertukar daripada Zon Merah kepada Zon Jingga, hari ini (semalam).

“Zon Kuning meliputi 10 daerah, manakala Tongod kekal dalam Zon Hijau,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Sabah secara keseluruhan terus melaporkan angka jangkitan baharu COVID-19 yang rendah membabitkan 54 kes, semalam, dengan satu kematian direkodkan di Sipitang.

“Jangkitan baharu itu meliputi 39 kes (72.2 peratus) dikesan melalui saringan kontak rapat, kes bergejala (enam) dan saringan kluster sedia ada (satu),” katanya.

Seterusnya, 57 pesakit sembuh, manakala 585 orang masih menerima rawatan meliputi 210 di hospital serta 375 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Beliau berkata, ia mewakili penggunaan 11.7 peratus daripada 5,001 unit katil disediakan untuk pesakit COVID-19 di seluruh Sabah ketika ini.

Masidi berkata, 2,501 orang pula menerima dos pertama vaksin, semalam, menjadikan jumlah kumulatifnya di Sabah mencecah 16,566 orang, setakat ini.

Dalam pada itu, katanya, kebanyakan kompaun kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sabah, semalam, membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan empat kes.

Katanya, empat lagi kompaun adalah berkaitan kesalahan dilakukan pemilik premis, iaitu tiada penjarakan fizikal, tiada tanda penjarakan di meja dan tiada penanda arah keluar masuk.

Beliau berkata, tujuh kompaun dikeluarkan di sekitar Kota Kinabalu, manakala satu lagi di Kinarut, Papar. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *