COVID-19: Kes Positif Di Sabah Menurun Kepada 54 Kes

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun buat hari ketiga berturut-turut kepada 54 kes, dengan satu kes kematian baharu.

Satu kes kematian hari ini dilaporkan di Sipitang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hari ini hanya 13 daerah mencatatkan kes baharu dengan daerah Keningau mencatatkan kes dua angka.

Beliau berkata, daripada 54 kes baharu hari ini, Keningau mencatatkan kes tertinggi dengan 18 kes, diikuti dengan Tawau (8), Kudat (6), Kota Kinabalu (5), Kalabakan (5), Papar (3), Kota Marudu (2), Sandakan (2) dan satu kes masing-masing di Tuaran, Beluran, Kota Belud, Penampang dan Tambunan.

Menurutnya, daripada 54 kes positif itu, sebanyak 39 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala enam kes, saringan kluster sedia ada satu kes dan lapan kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 57 kes dengan bilangan kumulatif 52,486 kes. Manakala, kematian di Sabah meningkat kepada 381 kes.

Setakat ini, sebanyak 53,675 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 585 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 210 orang di hospital dan 375 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 19 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,001 katil dan peratus penggunaan adalah 11.7 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost