Masidi Alami Demam Biasa Beberapa Hari Selepas Divaksin

Masidi Manjun

PENAMPANG: Selepas lima hari menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mula rasa keadaan dirinya kembali normal seperti biasa.

Beliau berkata, lain orang, lain penerimaan dan reaksi masing-masing selepas mendapat vaksin.

“Bagi kes saya, beberapa hari saya ada mengalami demam biasa tapi tidak berterusan dan rasa penat.

“Tetapi selepas lima hari, saya rasa keadaan semakin baik. Dari artikel yang saya baca, ini juga adalah perkara normal kesan selepas divaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Pelancaran Majalah Adatku di sini hari ini.

Masidi turut menganggap, semua kesan yang dialaminya itu adalah keadaan yang normal sebagaimana penerima vaksin yang lain.

Beliau antara penerima terawal vaksin jenis Pfizer-BioNtech di Sabah sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah yang dilancarkan pada 4 Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada mesyuarat Kabinet negeri akan datang, beliau mahu mencadangkan agar nama dua pemimpin terawal negeri Sabah iaitu mantan Ketua Menteri mendiang Tan Sri Peter Lo Su Yinan dan mantan menteri Persekutuan Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Gilong diabadikan sempena nama jalan.

Menurutnya, perkara itu perlu dipertimbangkan memandangkan kedua-dua pemimpin berkenaan banyak berjasa kepada Sabah dan Malaysia.

Bagaimanapun katanya, usaha itu perlu dilaksanakan mengikut garis panduan dalam menamakan jalan termasuk persetujuan kerajaan negeri dan majlis daerah serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita perlu ikut prosedur dan bagi saya itu cara yang sewajarnya terutama dalam memberi penghormatan kepada pemimpin lama khususnya mereka yang sudah meninggal dunia,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *