193,653 Murid Tahun 3 Hingga 6 Mulakan Kelas Bersemuka Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seramai 193,653 murid tahun tiga hingga enam memulakan sesi persekolahan di Sabah, hari ini.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata, jumlah itu membabitkan murid bagi sekolah rendah kerajaan dan swasta.

“Menerusi jumlah itu, 191,972 murid adalah dari sekolah rendah kerajaan manakala 1,681 murid membabitkan 18 sekolah rendah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Jumlah murid tahun tiga membabitkan sekolah rendah kerajaan ialah seramai 49,747 orang, tahun empat (48,448 orang), tahun lima (47,143 orang) dan tahun enam (46,634 orang).

“Semua pelajar itu memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bermula hari ini (semalam) selepas dua bulan menjalani sesi pelajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sesi persekolahan bersemuka bagi pra-sekolah, tahun satu dan dua pula sudah bermula pada 1 Mac lalu manakala sesi persekolahan bagi sekolah menengah akan bermula pada 4 dan 5 April depan.

Sementara itu, tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, di sini, mendapati ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak masing-masing secara pandu lalu.

Semua murid disambut oleh guru bertugas yang menunggu di pintu pagar utama sekolah sebelum dibawa ke ruangan pemeriksaan suhu badan.

Murid juga diwajibkan memakai pelitup muka serta cecair basmi kuman dalam usaha mengelak penularan wabak Covid-19. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

812