316 PATI Filipina Di Sabah Dihantar Pulang

SANDAKAN: Seramai 316 pendatang haram dari Filipina di Sabah dihantar pulang ke negara itu melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, pihaknya dengan kerjasama Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur diketuai Konsul Jeneral Anne Jalando-On Louis melaksanakan program penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurutnya, penghantaran itu adalah siri pertama bagi tahun 2021.

“Semua PATI warganegara Filipina itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak tahun 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.

“Sebelum ini, setelah melalui perjalanan darat dari Tawau ke Sandakan kira-kira tujuh jam.

“Proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 dan proses pengasingan PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Menurutnya, ia bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 terhadap setiap PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Semua PATI yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah, tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan dan melanggar syarat pas atau permit.

“Program penghantaran pulang ini sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Negeri Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di depot imigresen di seluruh Sabah,” katanya.

Menurutnya, JIM Sabah terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI selepas mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *