Vaksin Pfizer-BioNTech Tiba Di Sandakan

Pegawai Farmasi Hospital Duchess of Kent Sandakan, diiringi anggota polis, membawa vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang baru tiba dari Kota Kinabalu untuk simpanan sementara di Kolej Kejururawatan Hospital Duchess of Kent hari ini.

SANDAKAN: Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Sandakan hari ini untuk petugas yang akan melaksanakan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan 2021 di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sandakan berkata vaksin itu dihantar melalui jalan darat sejauh 226 kilometer dari Kota Kinabalu pada 8.35 pagi tadi dan tiba di Telupid di sini, kira-kira 10.45 pagi.

“Kemudian, pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan ke Telupid untuk membawa vaksin itu ke Sandakan (jarak Telupid-Sandakan kira-kira 120 km).

“Pasukan tiga pegawai polis dan enam anggota serta empat petugas HDOK bergerak dari Telupid jam 11.35 pagi dan tiba di HDOK kira-kira 1.10 tengah hari dan vaksin terus disimpan di dalam sebuah bilik simpanan di HDOK dengan kawalan ketat polis,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Azhar turut berterima kasih kepada pengguna jalan raya yang memahami tugas polis dan hospital dalam melancarkan penghantaran vaksin ke HDOK.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan 2021 peringkat negeri akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor, yang akan menjadi penerima pertama vaksin itu di Sabah pada 4 Mac ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

884