
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech sejumlah 104,130 dos secara berperingkat melalui enam kumpulan bagi fasa pertama, bermula hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dalam fasa pertama ini, seramai 42,117 orang petugas barisan hadapan di seluruh Sabah termasuk petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerima vaksin ini.
Beliau berkata, penghantaran vaksin fasa pertama ini akan berakhir pada 1 April.
“Dalam kumpulan pertama hari ini, sebanyak 16,380 dos diterima, diikuti pada 4 Mac dengan 9,360 dos, kumpulan ketiga pada 11 Mac dengan 24,550 dos, kumpulan keempat pada 18 Mac (3,510), kumpulan kelima pada 25 Mac (18,720) dan kumpulan terakhir pada 1 April (31,590),” katanya ketika mewakili Ketua Menteri menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) Terminal 2, hari ini.

Beliau berkata, pelancaran Program Vaksinasi Covid-19 peringkat negeri akan diadakan pada 4 Mac ini dan tiga individu pertama menerima vaksin itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.
Menurutnya, pemberian vaksin Covid-19 di Sabah ini akan dilakukan sehingga hampir 4juta rakyat Sabah menerima vaksin.
“Setakat ini pendaftaran bagi penerima vaksin masih berjalan dan pemberian vaksin akan dilakukan sehingga semua rakyat Sabah menerima suntikan vaksin.
“Setiap rakyat akan menerima dua dos suntikan vaksin. Selepas dos pertama, tiga minggu kemudian akan diberikan dos kedua bagi mendapatkan perlindungan maksimum,” ujarnya.
Ditanya mengapa Sabah terakhir menerima vaksin, Masidi berkata, masalah logistik dan bukannya sebab kesediaan vaksin. Tetapi, bagi memastikan agihan vaksin yang lebih efisien dan tiada masalah dalam pelaksanaan.
Beliau memberi jaminan bahawa keberkesanan vaksin ini sudah terbukti secara saintifik jadi, masyarakat tidak perlu merasa ragu-ragu.
Walaupun ada dikatakan meninggal dunia namun, mereka bukan meninggal dunia disebabkan diberi vaksin namun, disebabkan komplikasi kesihatan yang lain.
Kumpulan pertama vaksin ini tiba di LTAKK, Terminal 2 pada 12.40 tengahari tadi menaiki penerbangan Raya Airways RMY314. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost