Pesalah PKP Kini Berdepan Denda RM10,000

Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada 11 Mac, mengikut ordinan yang diterbitkan di laman web Warta Persekutuan hari ini.

KUALA LUMPUR: Individu yang melanggar peraturan ditetapkan perintah kawalan pergerakan (PKP) kini boleh didenda sehingga RM10,000.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 yang baharu, diterbitkan di laman web Warta Persekutuan, hari ini.

Ordinan berkenaan turut menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000.

Ordinan itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac.

Ordinan berkenaan turut merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24, dengan menyatakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta itu, “yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata” boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun.

Selain itu, ia turut menyatakan orang yang diberi kuasa boleh mengarahkan pesakit Covid-19 atau kontak rapat untuk memakai alat pengesanan seperti gelang tangan atau peranti lain.

Ordinan itu turut menjadikan kesalahan untuk merosakkan peranti berkenaan.

Selain itu, bagi syarikat yang menyalahi PKP, wakilnya boleh didakwa di mahkamah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *