Tiada Calon SPM Di Sabah Dimasukkan Pusat Kuarantin, Hospital

Pelajar dilihat berada di luar dewan peperiksaan sebelum menjawab kertas Bahasa Melayu 1 pada hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan di Sekolah Menengah La Salle di sini hari ini. -Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 36,432 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 314 pusat peperiksaan di seluruh Sabah bermula, hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan, tiada menerima data mengenai jumlah pelajar perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pusat kuarantin atau hospital.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mistirine Radin, berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 33,453 daripda calon sekolah kerajaan manakala 1,297 calon sekolah swasta dan1,682 calon persendirian.

Katanya, selain itu seramai 738 pelajar di Sabah turut menduduki Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di tujuh pusat peperiksaan.

“Kami tidak mempunyai data mengenai calon yang harus mengikuti ujian di pusat kuarantin atau hospital,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah (SM) La Salle, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SM La Salle, Mary Macdalena Komuji.

Kunjungan berkenaan bertujuan bagi meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2020 yang berlangsung hingga 25 Mac depan.

Pergerakan keluar masuk di pintu utama sekolah dikawal ketat oleh pengawal keselamatan dan pentadbiran sekolah untuk memastikan proses peperiksaan serta calon SPM tidak terganggu.

Pengamal media juga dilarang memasuki perkarangan sekolah dan hanya dibenarkan membuat pemerhatian dari luar pagar sahaja.

Mistirine meminta semua pelajar dan petugas SPM supaya sentiasa menjaga kesihatan, selain mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, semua kelas yang digunakan sebagai dewan peperiksaan juga akan sentiasa disanitasi setiap kali selepas peperiksaan dijalankan.

“Ini sebagai salah satu langkah kita untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 dalam kalangan calon serta petugas sepanjang SPM berlangsung,” katanya.

Semua calon terbabit diselia oleh 5,305 petugas peperiksaan dan membabitkan 88 pemeriksa di seluruh negeri. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *