Pesta Kaamatan Diadakan Secara Dalam Talian Tahun Ini

KOTA KINABALU : Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini akan diadakan secara dalam talian, sesuai dengan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata dalam mesyuarat pertama jawatankuasa sambutan Kaamatan yang dipengerusikan beliau dan diadakan secara dalam talian hari ini, jawatankuasa itu juga memutuskan tema untuk sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Aiso Wolit Montok Piompunan om Pibabasan’ (Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan).

“Kami merasakan tema ini sesuai untuk tahun ini selepas banyak perkara berlaku terutamanya yang disebabkan oleh COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kaamatan ialah pesta menuai yang disambut setiap tahun di Sabah oleh kaum Kadazan Dusun dan juga kaum lain yang berkaitan di negeri ini pada Mei.

Jeffrey yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata upacara pembukaan dan penutup sambutan itu akan diadakan di Hongkod Koisaan di Penampang dan akan disiarkan secara dalam talian.

Bagaimanapun katanya, semua daerah akan mengadakan sambutan peringkat daerah masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Terdapat juga kemungkinan keadaan berubah pada Mei nanti yang mungkin membolehkan kita mengadakan sambutan secara dalam dan luar talian serta orang ramai boleh menyertainya secara fizikal,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1561