PETRONAS Sahkan Pengeluaran Gas Sulung Di Luar Pantai Sabah

Platform Terapung Gas Asli Cecair kedua PETRONAS, FLNG DUA

KUALA LUMPUR: PETRONAS mengesahkan pengeluaran gas sulung dari medan Rotan dan Buluh di Blok H, luar pantai Sabah pada 6 Februari lalu, meningkatkan lagi potensi pelaburan petroleum di Malaysia.

PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, PTTEP Sabah Oil Ltd, anak syarikat PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) adalah pengendali Blok H, yang bekerjasama dengan PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi dan anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd.

PTTEP adalah syarikat penerokaan dan pengeluaran petroleum nasional di Thailand, manakala Pertamina adalah syarikat minyak dan gas asli milik Indonesia.

Naib Presiden Kanan PETRONAS untuk Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan berkata pengeluaran gas itu mencerminkan kerjasama yang mantap antara PETRONAS dan pelabur.

“Kedua-dua pihak berkongsi kepakaran serta teknologi untuk mengewangkan medan gas laut dalam yang terpencil dengan memindahkan hasil melalui PFLNG DUA yang dikendalikan oleh PETRONAS Floating LNG Ltd.

“Selepas jangkaan penghantaran komersial kargo LNG pertamanya menjelang pertengahan Mac 2021, PETRONAS akan menjadi syarikat tenaga global pertama yang memiliki dan mengendalikan dua kemudahan LNG terapung,” katanya.

Beliau menambah, sokongan padu daripada kerajaan Sabah juga memainkan peranan penting dalam merealisasikan pencapaian itu.

Dengan kemampuan mengeluarkan hasil dari kedalaman air melebihi 1,100 meter, projek ini menandakan satu lagi pencapaian dalam sektor huluan Malaysia kerana ia medan gas laut dalam pertama yang dilengkapi dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 270 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD).

Gas itu kemudiannya, diterima oleh platform Terapung Gas Asli Cecair kedua PETRONAS (FLNG), fasiliti PFLNG DUA untuk pasaran eksport LNG.

Penghasilan dari Blok H menyertai aliran pengeluaran sedia ada yang merangkumi tiga blok laut dalam di luar pesisir Malaysia.

Tambahan empat blok laut dalam sedang ditawarkan dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2021 yang dijadualkan pada 26 Februari 2021.

“PETRONAS mengalu-alukan pelaburan selanjutnya untuk membuka potensi laut dalam, sejajar dengan usahanya untuk merealisasikan wawasan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab laut dalam di Asia Tenggara,” kata syarikat minyak itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *