Percepat Siasatan Atas Keluarga Hidang Telur Penyu – Bekas Menteri Sabah

Gambar dikongsikan di media sosial menunjukkan makan malam keluarga disajikan telur penyu di Beluran, Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang bekas menteri alam sekitar Sabah menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (JPHL) negeri mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan bahawa satu keluarga menghidangkan telur penyu dilindungi ketika acara makan besar sempena Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Seorang ahli keluarga berkenaan yang dikatakan mempunyai pertalian dengan bekas Adun, telah berkongsi gambar makan malam itu di media sosial.

Hidangan telur penyu itu terus menarik perhatian ramai walaupun disajikan dengan pelbagai hidangan makanan laut lain.

Gambar yang dirakam dipercayai di Beluran di pantai timur negeri itu, telah dipadamkan, tetapi muncul kembali di laman Facebook lain mengundang kritikan meluas netizen yang turut mendesak tindakan diambil terhadap keluarga tersebut.

Christina Liew, yang juga bekas menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri berkata, JPHL perlu mengesan bagaimana telur penyu itu boleh berada di rumah terbabit sebagai hidangan makan besar Tahun Baharu Cina (seperti dilaporkan The Star).

“Untuk mencegah perbuatan itu daripada berulang, siasatan jabatan perlu membawa kepada pendakwaan dan sabitan pihak yang bersalah. Tiada sesiapapun boleh mengatasi undang-undang,” kata Liew yang juga bekas timbalan ketua menteri, hari ini.

“Saya sangat kecewa kerana ada rakyat di negara ini yang sama sekali tidak menghormati undang-undang yang melarang pemilikan dan pengambilan telur penyu di Sabah.

“Untuk menghentikan aktiviti haram ini, kita harus meningkatkan undang-undang dengan penguatkuasaan lebih ketat,” katanya.

Pengarah hidupan liar Sabah Augustine Tuuga memberitahu media, jabatannya telah memulakan siasatan atas inisiatif sendiri memandangkan tiada sesiapa yang tampil membuat laporan rasmi berhubung kejadian itu.

Liew mengingatkan bahawa penyu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. Seksyen 41 enakmen itu menjadikan menyatakan bahawa menjadi kesalahan untuk memiliki haiwan atau produknya termasuk cengkerang, daging dan telur.

Ahli Parlimen Tawau itu turut bersetuju dengan NGO Friends of Sea Turtles Education and Research (Foster), bahawa penguatkuasaan undang-undang dan pemuliharaan harus berjalan seiring untuk memastikan hasil terbaik.

“Tanpa langkah ketat untuk membendung penyeludupan dan penjualan telur penyu, usaha pemuliharaan Foster sejak lapan tahun lalu mungkin sia-sia saja,” katanya.

Pada Julai 2013, Foster menandatangani memorandum persefahaman (MoU) selama lima tahun dengan jabatan hidupan liar sabah untuk program pemuliharaan dan perlindungan penyu di Pulau Libaran.

Lima tahun kemudian, Liew yang ketika itu menteri alam sekitar, telah menyaksikan MoU antara Foster dengan jabatan itu untuk melanjutkan program kolaboratif berkenaan sehingga Ogos 2023. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *