SABAS Agih “Rider Phone Holder” Percuma Kepada Penghantar Makanan Di Sandakan

SANDAKAN: Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) hari ini mengagihkan 30 alat pemegang telefon bimbit kepada penghantar makanan bermotosikal di sini bagi membantu mereka melaksanakan tugas itu dengan lebih selamat.

Presidennya Datuk Juhari Janan berkata inisiatif itu juga termasuk memberi kesedaran kepada para penghantar makanan berkenaan kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya.

“Kami berharap mereka dapat menunggang motosikal dengan selamat dan cermat dalam mereka mencari rezeki. Mereka ini juga sebahagian daripada masyarakat dan memerlukan perhatian,” katanya ketika ditemui pada program pengagihan alat itu dan pek makanan di sini hari ini.

Beliau berkata Sabas akan berusaha untuk mendampingi lebih ramai penghantar makanan dan mengagihkan alat itu untuk kemudahan mereka.

Penghantar makanan Grab Food, Jaafar Pame, 33, menghargai sumbangan alat pemegang telefon bimbit itu yang memudahkannya berurusan dengan pelanggan yang menempah perkhidmatan penghantaran makanan.

“Selama ini ada risikonya menjawab telefon ketika menjalankan perkhidmatan ini. Jadi, dengan adanya alat ini boleh menjamin keselamatan,” katanya.

Penghantar makanan Food Panda, Nicodemus Pang, 23, mengakui memang sukar berurusan dengan pelanggan ketika berada di jalan raya dan berterima kasih atas keprihatinan Sabas dengan sumbangan alat itu yang akan memudahkannya menjalankan perkhidmatan dengan lancar dan lebih selamat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *