Taktik Sorok Rokok Seludup Dalam Lori Minyak Gagal

Lori minya yang ditahan di Batu 21 Jalan Apas, Balung, dekat sini, bersama rokok seludup yang disembunyikan di ruang simpanan tangki minyak pada Rabu lalu. – Gambar PGA Tawau.

TAWAU: Taktik seorang lelaki menyembunyikan 74,900 bungkus rokok seludup dalam lori tangki minyak dipandunya gagal mengaburi pihak berkuasa, selepas ditahan di Batu 21 Jalan Apas, Balung, dekat sini.

Suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 7.20 pagi Rabu lalu, susulan hasil maklumat dan risikan.

Difahamkan, lori minyak berkenaan dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Semporna sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Gamar PGA Tawau

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14, PGA Tawau, Deputi Superintendan Abd Halim Ahmad berkata, pemeriksaan awal terhadap pemandu tidak menemukan sebarang pelanggaran undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut pada bahagian simpanan tangki lori berkenaan telah menemukan beberapa bungkusan memenuhi segenap ruang simpanan dalam lori tangki itu.

“Semua kotak dan bungkusan itu mengandungi pelbagai jenis dan jenama rokok seludup dipercayai tanpa cukai kastam dan disyaki untuk pasaran tempatan.

“Antara rokok yang rampas masing-masing adalah Astro Merah (24,500 bungkus); Surya Gudang Garam (16,700 bungkus); Astro Hijau (14,500 bungkus); LA Menthol (9,600 bungkus); Premium (9000 bungkus); dan A1 (600 bungkus),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Suspek ditahan PGA Tawau di Batu 21 Jalan Apas, Balung, dekat sini, bersama rokok seludup yang disembunyikan di ruang simpanan tangki minyak pada Rabu lalu. – Gambar PGA Tawau

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori tangki dianggarkan berjumlah RM1,137,860.00.

“Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(a) akta sama,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *