Rompak Berkumpulan, 2 Lelaki Dipenjara 10 Tahun, 5 Sebatan

Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan lima sebatan terhadap dua lelaki atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan pada 1 Februari lalu.- NSTP/ Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman masing-masing penjara 10 tahun dan lima sebatan terhadap dua lelaki yang melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang wanita, pada 1 Februari lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas Ibnu Ameer Jun dan warga asing, Sabri Hasan, masing-masing berumur 25 tahun membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-kedua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan seorang lagi rakan yang masih bebas terhadap harta milik Fong Yun Kong, 57, iaitu satu unit telefon bimbit jenama Vivo dan sebuah tablet jenama Samsung.

Ketika melakukan rompakan, tertuduh mengacukan pisau ke leher mangsa yang sedang makan di hadapan sebuah premis tidak beroperasi di Pusat Komersial Bazhong, kira-kira jam 3.30 petang pada 1 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kesalahan dilakukan, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan masing-masing memohon hukuman diringankan.

Awang Kerisnada kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dipenjara bermula dari tarikh sabitan hari ini, selain memerintahkan Sabri dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *