KWSP Dalam Proses Mansuh Syarat Pengeluaran i-Sinar – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pemansuhan itu susulan nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif berkenaan selepas mengambil kira maklum balas rakyat.

Beliau berkata, ahli KWSP yang berumur kurang 55 tahun boleh membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki sedia ada.

Katanya, bagi ahli yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

“KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat perdana menteri, supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut selepas mengambil kira maklum balas pihak awam.

“Langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KWSP sudah memaklumkan jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka. Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.

Katanya, berikutan perubahan perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan itu.

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP, dan kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan.

“Ahli juga dinasihatkan merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu atau mengelirukan ahli,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *