COVID-19: Sabah Catat 132 Kes Baharu & 4 Kematian

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 132 kes dengan empat kematian dan dua kluster baharu, hari ini.

Kluster baharu itu adalah kluster Jalan Tiga KKIP dan kluster Lorong Bersatu Damai di Kota Kinabalu.

Klusteri Tiga KKIP membabitkan pekerja kilang pemprosesan ayam dan setakat ini sebanyak 21 kes positif direkodkan termasuk enam kes baharu.

Manakala, kluster Lorong Bersatu Damai dikesan melalui saringan prosedur pesakit di wad dan sehingga kini sebanyak 10 kes positif dicatatkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, empat kematian yang dilaporkan masing-masing dua kes di Tawau, satu kes di Putatan dan satu kes di Sandakan.

Beliau berkata, daripada 132 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 34 kes, diikuti dengan Keningau (15), Kudat (14), Lahad Datu (11), Tawau (8), Putatan (6), Sandakan (5), Papar (4), Penampang (4), Semporna (4), Kota Marudu (4), manakala tiga kes di Tuaran, Kunak, Tenom dan Kota Belud.

Sementara itu, dua kes dilaporkan di Kinabatangan, Kalabakan, Beluran dan Sipitang. Manakala, satu kes di Telupid, Beaufort dan Tambunan.

Hari ini, Kuala Penyu bertukar dari zon jingga kepada zon kuning. Ia menjadikan bilangan zon kuning ketika ini sebanyak enam daerah termasuk Telupid, Tambunan, Tongod, Nabawan dan Pitas.

Menurutnya, daripada 132 kes positif itu, sebanyak 57 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 15 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 24 kes, saringan Perkeso satu kes dan 35 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sebanyak 174 kes pulih dilaporkan hari ini dengan bilangan kumulatif sebanyak 48,535 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 351 kes.

Setakat ini, sebanyak 50,855 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,424 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 517 orang di hospital dan 904 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta tiga orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 64 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,111 katil dan peratus penggunaan adalah 23.30 peratus.

Bagi sekatan jalan raya (SJR), sebanyak 39,554 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dan 59 kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 51 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *