Kerajaan Sabah Sedia Dokumen Pekerjaan Untuk PATI

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang melaksana Program Regularisasi dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk mengurus dan menyelaras pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memperoleh dokumen pekerjaan yang sah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, program itu akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

Pengeluaran dokumen itu bagaimanapun bergantung kepada syarat tertentu dimana, PATI perlu memiliki pasport negara masing-masing dan mereka mestilah berasal dari negara-negara yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah; dan lain-lain syarat seperti mana yang dinyatakan oleh Jabatan Imigresen.

Mengenai ujian Covid-19 ke atas pekerja asing termasuk PATI, semua majikan hendaklah bertanggungjawab memastikan semua pekerja asing yang digaji oleh mereka menjalankan ujian saringan Covid-19.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kesihatan dan keselamatan terutamanya semasa penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Pada masa ini, Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTKS) bersama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) dan Pertubuhan keselamatan Sosial (Perkeso) sedang menjalankan operasi penguatkuasaan untuk mewajibkan majikan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing.

Ujian saringan Covid -19 boleh dilakukan di klinik dan hospital swasta secara berjadual dan berperingkat.

Beliau berkata, kit ujian RTK antigen dibiayai oleh Perkeso bagi yang mencarum dengan Perkeso dan majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik panel dalam kos RM40 hingga RM80 bagi setiap pekerja.

“Majikan yang mempunyai pekerja yang ramai boleh menghubungi klinik panel yang terdekat untuk menetapkan tarikh dan masa saringan.

“Saringan juga boleh dijalankan di premis majikan dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya semasa sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Masidi berkata, majikan juga boleh menghubungi satu atau lebih klinik panel bagi menjalankan ujian saringan ini di premis majikan.

Untuk pekerja asing yang tidak mencarum dengan Perkeso, majikan hendaklah membiayai kos saringan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

“Mana-mana majikan yang telah membuat ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing mereka, perlu melaporkan melalui aplikasi Mycare yang boleh  dilayari dalam laman web Perkeso www.perkeso.gov.my.

“Mereka juga perlu memaklumkan kepada pihak JTK Sabah dengan mengisi borang maklumat ujian saringan kesihatan pekerja asing yang boleh di muat turun di laman Web JTK Sabah http://jtksbh.mohr.gov.my,” jelasnya.

Menurutnya, pegawai daripada JTK, JKKP dan Perkeso Sabah akan menghubungi majikan dari masa ke masa untuk mendapatkan status berhubung kewajipan ini.

Mana-mana majikan yang memerlukan maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat atau email kepada kepada [email protected]. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *