PGA Rampas Senapang & Syabu Dalam Serbuan Di Kalabakan

Senapang angin buatan sendiri dirampas dalam serbuan tersebut. Manakala gambar kecil syabu yang turut ditemui dalam serbuan itu. – Foto PGA

KALABAKAN : Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas senapang angin dan dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Ladang Felda Selatan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu anggota PGA yang menjalankan tugas Ronda Jarak Jauh, Road Check Point (RCP) terserempak sekumpulan lelaki berkumpul di sebuah rumah tidak bernombor di ladang tersebut.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata sebaik mengesan kumpulan terbabit pasukan keselamatan bertindak menyerbu rumah tersebut.

“Suspek yang menyedari kehadiran pasukan polis, mereka segera bertindak melarikan diri melalui pintu belakang rumah dan berjaya lolos daripada ditahan pihak berkuasa,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan awal dijalankan di sekitar rumah tersebut berjaya menemui selaras senapang angin buatan sendiri dipercayai digunakan untuk tujuan berburu.

“Turut ditemui juga satu paket lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu di dalam bakul salah sebuah motosikal yang ditinggalkan oleh suspek.

“Kesemua barang rampasan termasuk dua buah motosikal yang bernilai RM6,030.00 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *