Penduduk Kampung Togop Bakal Terima Jambatan Kekal Bernilai RM11 Juta

RANAU, 7 Feb : Hasrat kira-kira 900 penduduk Kampung Togop Laut dekat sini yang mahukan sebuah jambatan kekal menghubungkan kampung mereka dengan Kampung Togop Darat akan direalisasikan tidak lama lagi selepas kerajaan negeri meluluskan pembinaan jambatan konkrit bernilai RM11 juta.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata jambatan yang akan dibina di Sungai Kopuakan itu bakal menggantikan jambatan “low-level crossing” yang digunakan oleh penduduk kampung berkenaan sejak 2011.

Pembinaan jambatan konkrit sepanjang 90 meter itu dijangka mengambil masa 18 bulan, kata Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang, dalam kenyataan hari ini.   

“Penduduk Togop Laut sudah sekian lama menggunakan jambatan ‘low-level crossing’ dan apabila hujan berpanjangan serta banjir melanda, kenderaan tidak dapat melalui jambatan ini dan sebagai alternatif lain mereka menggunakan jambatan gantung.

“Bagaimanapun, dengan adanya jambatan konkrit itu kelak, penduduk kampung boleh menggunakannya pada bila-bila masa termasuk pada waktu hujan,” katanya.

Terdahulu, Joachim menyaksikan majlis perasmian pecah tanah bagi pembinaan jambatan itu yang berlangsung di tepi Sungai Kopuakan, Kampung Tobok Darat.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2020