Polis Tahan Pengawal Keselamatan Warga Asing Cabul Budak Perempuan 3 Tahun

BELURAN: Seorang pengawal keselamatan warga asing diberkas polis semalam selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Suspek berusia 47 tahun itu dilaporkan mencabul mangsa di perumahan kongsi Ladang Sungai Sabang dekat Sugut, Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain di halaman rumah kongsi dalam keadaan tidak berbaju.

Katanya, suspek kemudian memanggil mangsa masuk ke dalam biliknya dan mencabul kanak-kanak berkenaan.

“Kejadian disedari ibu mangsa apabila melihat mangsa duduk di rumah suspek dalam keadaan bogel dan mencurigakan.

“Ibu mangsa memeriksa mangsa dan menemui cecair berlendir pada badan kanak-kanak berkenaan.

“Selepas itu, suspek dipercayai melarikan diri namun berjaya diberkas polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, sebelum suspek ditahan, ahli keluarga mangsa turut menyebarkan kejadian itu melalui Facebook.

“Dalam status ahli keluarga mangsa, mereka mendakwa mangsa dirogol dan gambar suspek turut dimuat naik dalam Facebook.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada kejadian rogol berlaku namun mangsa dipercayai dicabul suspek.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Kasim berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana mencabul. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *