COVID-19: Penggunaan Katil Pesakit Di Hospital Lahad Datu Capai 91.4%

Penggunaan katil pesakit COVID-19 di Hospital Lahad Datu mencapai tahap 91.4 peratus membabitkan seramai 128 pesakit. – Foto Bernama

KOTA KINABALU: Penggunaan katil oleh pesakit COVID-19 di Hospital Lahad Datu, di sini, kini mencapai tahap 91.4 peratus membabitkan seramai 128 pesakit.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia diikuti

Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan kadar penggunaan katil oleh pesakit COVID-19 sebanyak 80.2 peratus.

Bagaimanapun, katanya, HQE merekodkan jumlah pesakit COVID-19 yang masih dirawat tertinggi di Sabah iaitu seramai 393 orang.

“Setakat semalam, hospital yang mempunyai bilangan pesakit paling ramai ialah di HQE dengan 393 orang atau 80.2 peratus daripada kapasiti katil untuk pesakit COVID-19 di hospital itu.

“Hospital Lahad Datu pula seramai 128 orang pesakit COVID-19 yang masih dirawat dengan kadar penggunaan katil setakat ini sebanyak 91.4 peratus,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, malam tadi.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata Hospital Keningau setakat hari ini masih merawat seramai 36 pesakit COVID-19 turut mencatat kadar penggunaan katil yang tinggi iaitu 80 peratus.

Bagi hospital lain, katanya, sembilan pesakit COVID-19 masih dirawat di Hospital Kota Marudu mewakili 75 peratus penggunaan katil, manakala 87 pesakit dengan 68 peratus penggunaan katil di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

“Di Hospital Tawau pula, seramai 151 pesakit COVID-19 masih dirawat dengan 62.1 peratus penggunaan katil, diikuti 58.3 peratus penggunaan katil membabitkan 84 pesakit di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas di Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, Hospital Semporna pula masih merawat 30 pesakit COVID-19 dengan 39.5 peratus penggunaan katil, manakala Hospital Kudat yang setakat ini masih merawat tujuh pesakit merekodkan penggunaan katil terendah iaitu 24.1 peratus.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan sebanyak 348 kes baharu positif COVID-19 dengan tiga kematian semalam, masing-masing dua di Sandakan dan satu di Beaufort, menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 47,139 kes.

Seramai 400 pesakit COVID-19 pula dibenarkan keluar hospital, menjadikan kumulatif sembuh seramai 42,806 orang, manakala 2,678 orang masih dirawat, dengan 832 orang di hospital dan 1,827 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam serta 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Masidi berkata, satu kluster baharu turut direkodkan iaitu Kluster Industri Apas di Tawau membabitkan kes indeks seorang pekerja stor di sebuah kilang udang dengan 22 kes kumulatif setakat ini.

“Daripada 348 kes, sebanyak 251 kes atau 72.1 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat, manakala 50 kes atau 14.4 peratus melalui saringan bergejala,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1132