KOTA KINABALU: Kehadiran peminta sedekah di sekitar pekan Inanam, di sini, semakin menjadi-jadi setiap hari sehingga mengganggu aktiviti seharian penduduk setempat.
Kumpulan yang dipercayai warga asing itu semakin giat melakukan aktiviti berkenaan dengan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan wang.
Hasil tinjauan mendapati, mereka memulakan operasi seawal jam 9 pagi dengan cara ada yang sanggup berlakon sakit selain mendukung anak kecil bagi meraih simpati orang ramai.
Namun apa yang menghairankan jumlah peminta sedekah di lokasi berkenaan meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini sehingga mengganggu aktiviti orang ramai.
Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Sepanggar, Leslie Chin berkata, mana-mana pihak berwajib yang bertanggungjawab perlu tampil untuk menyelesaikan masalah itu.
Katanya, perbuatan yang membabitkan bayi atau kanak-kanak perlu diselesaikan kerana ia bukan saja mengganggu orang ramai tetapi juga membahayakan nyawa peminta sedekah itu sendiri.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana agensi berkaitan perlu mengambil tindakan kerana ia melibatkan kanak-kanak.
“Selain itu, mereka juga perlu dipantau kerana ketika pandemik Covid-19 ini sedang memuncak, mereka dikhuatiri dijangkiti atau mungkin menjadi penyebar kepada penyakit berkenaan,” katanya.
Leslie berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan segera sebelum menjadi punca kepada permasalahan yang lebih serius. – AsiaTimes
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost