RM150 Juta Baik Pulih Jalan Rosak Akibat Banjir, Tanah Runtuh Di Sabah

RANAU, 24 Jan : Kira-kira RM150 juta diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih jalan yang rosak akibat banjir serta tanah runtuh yang melanda Sabah baru-baru ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata justeru kerajaan negeri akan memperhalusi perkara itu termasuk dari segi pembiayaan dan akan memohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaiki jalan-jalan terlibat.

“Ada jalan-jalan yang diselenggara oleh pihak konsesi dan jika ia dikendalikan konsesi berkenaan, kami akan berikan kepada konsesi tersebut (bagi baik pulih).

“Tetapi ada jalan (rosak) tidak ada yang menjaga (menyelenggara), oleh itu ia akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan tanah runtuh tempat letak kereta awam Taman Kinabalu, Kundasang di sini hari ini.

Bung Moktar berkata keadaan hujan yang berterusan adalah faktor berlakunya kejadian tanah runtuh, jambatan roboh dan jalan terputus, malah dianggarkan lebih 100 jalan tidak boleh dilalui baru-baru ini.

Beliau berkata dengan tindakan pantas JKR untuk membaik pulih dan membuat lencongan jalan, pada masa ini hanya ada 17 jalan yang tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan di seluruh negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai tempat tapak letak kereta yang terjejas akibat tanah runtuh itu, Bung Moktar berkata dianggarkan antara RM30 juta dan RM40 juta diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih.

Katanya pihak JKR perlu meneliti dan membuat kajian termasuk pergerakan tanah bagi memastikan struktur tanah di kawasan itu stabil dan kejadian tanah runtuh tidak berulang.

“Kami tidak mahu apabila dibaik pulih ia runtuh lagi, oleh itu perbincangan komprehensif perlu dalam kalangan agensi kerajaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost