SPRM Sabah Tahan Peniaga Selepas Cuba Rasuah Ketua Jabatan

KOTA KINABALU: Seorang peniaga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai cuba menyogok ketua jabatan sebuah agensi kerajaan, hari ini.

Peniaga berusia 50-an itu dipercayai cuba memberi rasuah sebanyak RM2,000 bagi mempercepatkan proses kelulusan penjualan minyak kepada nelayan di Jeti Batu Putih, Sandakan.

Menurut sumber, suspek lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu selepas ketua jabatan terbabit melaporkan perkara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan peniaga terbabit dan memaklumkan lelaki itu ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.

Katanya, tindakan ketua jabatan itu yang melaporkan kes rasuah kepada SPRM wajar dipuji.

“Tindakan itu selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 iaitu kewajipan untuk melaporkan transkasi penyogokan,” katanya.

Menurutnya, semua penjawat awam di negeri ini diseru supaya tampil membuat laporan kepada SPRM sekiranya terdapat sebarang penyogokan wang rasuah ketika mereka menjalankan tanggungjawab.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *