Jalan Putus, Banjir Berterusan Di Sabah

Keadaan jalan yang runtuh menyebabkan Jalan Penampang – Tambunan ditutup kepada semua lalu lintas. Gambar ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Jalan Penampang-Tambunan yang menghubungkan Kota Kinabalu, Tambunan dan Keningau ditutup kepada semua lalu lintas selepas laluan di Kilometer (KM) 45.7 runtuh, hari ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, kerosakan itu dikenal pasti berpunca daripada kegagalan tembok penahan tebing jalan berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Jurucakap JKR Sabah berkata, bahagian jalan yang terjejas dianggarkan sepanjang 50 meter dengan empat meter lebar dan kedalaman runtuhan antara dua hingga tiga meter.

Keadaan itu menyebabkan ia tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan Jalan Kimanis – Keningau jika perlu merentas daerah.

Sementara itu, situasi banjir di semua daerah yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak semalam belum menunjukkan perubahan positif berikutan keadaan cuaca masih hujan lebat sehingga petang ini.

Sekurang-kurangnya 10 daerah di pantai barat, pedalaman dan utara Sabah dilaporkan mengalami banjir.

Daerah terbabit ialah Sipitang, Beaufort, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Pitas dan Paitan (Beluran).

Di Tuaran, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor turut meninjau beberapa lokasi dilanda banjir di sekitar daerah itu dan memantau persediaan bantuan kepada mangsa di Dewan Sri Sulaman.

Hajiji bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong turut meninjau penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Likas di Kota Kinabalu dan di Kompleks Sukan Penampang bagi mangsa dari daerah Penampang.

Di Putatan, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya turut meninjau beberapa kampung terjejas banjir di daerah itu.

Antara kampung terjejas di Putatan ialah Kampung Muhibbah Baru, Kampung Contoh, Sri Pandan, Ketiau, Tombovo, Lembising dan Kampung Lok Kawi Baru.

Satu PPS di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Keramat turut dibuka untuk 24 mangsa banjir di daerah ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *