Mayat Bot Tunda Karam Ditemui Di Pulau Tambisan

SANDAKAN: Satu mayat dipercayai kru bot tunda yang dilaporkan karam di Kinabatangan ditemukan terapung sekitar Pulau Tambisan, awal pagi tadi.

Mayat ini ditemukan penduduk setempat dan telah diserahkan kepada polis untuk tujuan pengecaman ahli keluarga mangsa.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) ke atas tiga mangsa bot tunda yang karam di perairan Kinabatangan pada Rabu, memasuki hari keempat hari ini.

Kapal peronda Maritim, KM Serasan telah digerakkan ke lokasi mayat ditemui pada 11.30 pagi bagi membawa mayat mangsa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengecaman oleh ahli keluarga serta bedah siasat.

Mayat yang ditemukan itu dipercayai kru bot tunda yang hilang setelah bot tunda dinaiki karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar.

Bot tunda Ever Winner yang karam itu dikendalikan oleh empat kru difahamkan sedang menunda sebuah tongkang (barge) Ever Eternity tanpa muatan bersama seorang lagi kru.

Bagaimanapun, seorang kru bot tunda dan kru tongkang itu berjaya menyelamatkan diri.

Zainudin berkata, keadaan laut yang bergelora ditambah dengan cuaca yang buruk dilihat antara punca berlakunya kejadian bot karam.

“Ini boleh dikaitkan dengan dua tragedi bot karam di perairan Sandakan dalam tempoh tiga hari. Keadaan cuaca yang buruk ini turut menyukarkan lagi usaha pasukan pencari dan penyelamat.

“Justeru itu, Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti nelayan agar sentiasa peka kepada amaran cuaca dan bencana alam seperti hujan lebat, ribut dan angin kencang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Elakkan keluar ke laut jika cuaca tidak mengizinkan. Patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak dari berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang menemui sebarang petunjuk atau bukti berkaitan kedua-dua operasi CARILAMAT diminta untuk menyalurkan maklumat terus ke bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8135