Polis Sabah Cadang Longgar Radius Perjalanan Lebih 10KM

Hazani Ghazali memeriksa kenderaan yang melalui sekatan di Jalan Penampang-Papar Lama.

PENAMPANG: Polis Sabah mencadangkan kerajaan negeri memberi kelonggaran untuk penduduk bergerak melebihi radius 10km sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, cadangan itu dibuat kerana jarak antara daerah di negeri itu amat luas dan beberapa kawasan pedalaman terletak jauh daripada lokasi menjual barang keperluan.

“Cadangan ini akan dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa bencana negeri untuk dipertimbangkan dalam masa terdekat ini.

“Sebagai contoh, penduduk di Sabindo, di sini, terpaksa ke Putatan untuk mendapatkan bekalan berbanding perjalanan lebih jauh ke pekan Papar.

“Begitu juga penduduk di kawasan Tongod yang terpaksa merentasi daerah ke Telupid untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Jalan Penampang-Papar Lama.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim.

Hazani berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, orang ramai hanya perlu membawa dokumen tertera alamat tempat tinggal seperti bil air ataupun elektrik untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa ketika pemeriksaan di sekatan jalan.

“Kita harapkan dengan kelonggaran ini, ia akan memudahkan lagi perjalanan orang awam untuk membeli barangan keperluan, khususnya di kawasan pedalaman yang terletak jauh dari bandar.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *