Kes Covid-19 Terkawal Di Rumah Warga Tua Sandakan

Rumah Warga Tua Sri Harapan, Sandakan, dikaitkan dengan Kluster Jalan Sibuga.- Gambar Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Keadaan masih terkawal walaupun jumlah penghuni dan petugas di Rumah Warga Tua Sri Harapan, dekat sini, yang dijangkiti Covid-19, meningkat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya berkata, setakat ini 17 orang disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 orang adalah warga tua dan enam lagi adalah kakitangan.

“Seorang lagi yang disahkan positif adalah ahli keluarga kepada kakitangan di pusat jagaan berkenaan.

“Setakat ini semua penghuni dan kakitangan iaitu seramai 71 orang sudah menjalani ujian calitan Covid-19 dan 55 orang masih menunggu keputusan saringan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shahelmy berkata, rumah warga tua itu sudah disanitasi dan langkah kawalan ketat turut dilaksanakan dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Beliau berkata, individu bergejala diasingkan sementara menunggu keputusan saringan dan suhu badan semua penghuni diambil setiap enam jam.

“Bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan petugas pula, pekerja sukarela daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah dilantik,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah memaklumkan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Sibuga dilaporkan aktif di Sandakan.

Kluster Jalan Sibuga itu dikesan di rumah warga tua terbabit dengan lima kes sebelum meningkat kepada sembilan kes dan kini sebanyak 17 kes. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *