Agong Perkenan Darurat Hingga 1 Ogos 2021

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Menerusi laporan ringkas BERNAMA pagi ini, Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat tersebut sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal.

Difahamkan, tempoh yang dijangka tersebut diberikan jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Selain itu, Agong juga perkenan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas dianggotai ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

“Jawatankuasa Bebas akan mengesyorkan kepada Agong sekiranya pelaksanaan darurat dapat ditamatkan lebih awal.

“Agong (juga) menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal hadapi pelaksanaan darurat dan PKP demi keselamatan dan kepentingan bersama,” tambah laporan tersebut. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *