Jangkitan Komuniti Meningkat Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Hampir tiga perempat kes Covid-19 baharu dilaporkan hari ini adalah jangkitan komuniti, kata seorang menteri negeri, sehari selepas memberi amaran kemungkinan perintah kawalan dikenakan jika kes terus meningkat.

Jurucakap Covid-19 kerajaan negeri, Masidi Manjun berkata, 363 kes jangkitan komuniti dilaporkan hari ini, merangkumi 73.6% daripada 493 kes direkodkan dalam tempoh 24 lalu.

Selebihnya membabitkan 49 kes yang dikesan selepas saringan simtomatik individu, 19 kes saringan tempat kerja dan 15 kes saringan pusat kesihatan swasta, antara lain.

Semalam, saringan kontak rapat merangkumi hampir 60% daripada 405 kes yang dikesan.

Masidi semalam turut menyuarakan kebimbangan, jangkitan komuniti semakin menjadi ancaman di negeri itu, yang disifatkan akibat kelekaan mematuhi protokol kesihatan terutama ketika tempoh perayaan hujung tahun lalu.

Jangkitan semakin meningkat dari 1 Jan apabila 254 kes dilaporkan.

Selepas jangkitan terbaru hari ini, Sabah mempunyai 39,453 kes kumulatif, dengan 2,457 orang masih dirawat di hospital dan pusat rawatan risiko rendah.

Daripada 27 daerah di Sabah, 21 dikategorikan zon merah, dua lagi jingga manakala empat kuning. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2643