Pantau Daging Import Halal Ke Sabah – Ketua Menteri

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 31 Dis : Agensi serta jabatan berkaitan perlu memainkan peranan memantau status daging import halal ke negeri ini bagi memastikannya benar-benar halal untuk kegunaan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dilakukan setakat ini tiada isu kartel daging dilaporkan media baru-baru ini terjadi di Sabah, bagaimanapun beliau meminta semua pihak terlibat supaya terus melakukan pemantauan terhadap isu tersebut.

Justeru, katanya agensi serta jabatan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah diharap melakukan pemeriksaan kerap terhadap aktiviti import daging di negeri ini.

“Kita tidak mahu isu ini berlaku di Sabah kerana ini libatkan soal halal dan haram daging import ke Sabah untuk rakyat kita,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan RTM di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Pada Selasa lepas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dilaporkan berkata negeri itu mempunyai peraturan yang ketat berkaitan daging import dan negeri itu juga tidak membenarkan daging dibawa masuk dari Semenanjung.

Jeffrey dilaporkan berkata Sabah hanya mengimport daging secara terus dari Australia dan New Zealand, juga kemudahan khas di Aurangabad, India yang mengeluarkan daging kerbau sejuk beku untuk memenuhi keperluan daging bermutu tinggi di negeri ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *