Tiada Isu Kartel Daging Di Sabah

Arifin Arif memeriksa bekalan daging import ketika melawat sebuah premis pembekal daging di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Tugas-tugas Khas, Mohd Arifin Arif berkata, Sabah tidak menghadapi isu kartel daging seperti yang berlaku di Semenanjung.

Ini kerana katanya, semua daging yang diimport pembekal ke Sabah diperakui halal oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Semalam saya telah mendapat laporan daripada KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jabatan Veterinar dan beberapa agensi berkaitan. Setakat ini, isu berkenaan (kartel daging) tidak timbul.

“Daging-daging import halal yang dibawa masuk ke Sabah dihantar terus dari negara pembekal dan bukannya datang dari Semenanjung,” katanya selepas melawat empat premis pembekal daging di sekitar Kota Kinabalu.

Beliau berkata, semua daging perlu mematuhi beberapa prosedur dan peraturan ketat sebelum diimport ke Sabah.

“Kalau daging lembu, ianya diimport dari New Zealand dan Australia, (daging) kerbau dari India, manakala ayam diimport dari Belanda serta Denmark.

“Sebelum daging-daging ini dibawa masuk, mereka perlu mematuhi beberapa syarat ketat Jabatan Veterinar, begitu juga pensijilannya menerusi JHEAINS dan JAKIM.”

Beliau meminta orang ramai membuat aduan kepada JHEAINS berhubung produk daging yang diragui status halalnya.

Sementara itu, Arifin berkata, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan menubuhkan sebuah hab halal bulan depan.

“Ini salah satu usaha kita mempermudahkan urusan peniaga yang mahu mendapatkan sijil halal.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1045