PKPD Taman Telipok Ria Tamat

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria di Tuaran, Sabah ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati baki kes aktif di lokaliti berkenaan semakin terkawal.

Beliau berkata, kes jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit juga menunjukkan aliran menurun.

“Sejak PKPD di taman itu dilaksanakan pada 27 November lalu, KKM sudah melaksanakan ujian saringan kepada 9,065 individu dan 806 kes disahkan positif COVID-19,” katanya pada sidang media mengenai PKP, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 18,000 penduduk Taman Telipok Ria berada di kawasan yang dikenakan PKPD sehingga 10 Disember sebelum dilanjutkan sehingga hari ini.

Kawasan berkenaan menempatkan sebanyak 30 blok rumah pangsapuri dan 3,400 unit kediaman dengan keluasan sehingga 28 hektar dan difahamkan lokasi PKPD terbesar di Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

904