Petani Cedera Parah Di Mata Tertembak Diri Sendiri

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di muka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk menerima rawatan susulan.

KOTA MARUDU: Seorang petani cedera parah di mata kanan selepas tertembak dirinya sendiri semasa ‘mengisi peluru’ ginsuk di Kg Pinatau, di sini, kira-kira jam 6.45 petang, Rabu.  

Sebelum kejadian, mangsa, 25, dikatakan mengisi guli dan kepala batang mancis ke ginsuk, bagaimanapun senjata buatan sendiri miliknya meletup secara tiba-tiba. 

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Mohd Izaan Abdullah berkata kejadian berlaku di kawasan hutan Kg Pinatau yang memerlukan masa empat jam perjalanan berjalan kaki. 

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil,” katanya menerusi kenyataan medianya di sini, hari ini, berhubung insiden tertembak diri sendiri dengan senjata buatan sendiri terbabit. 

Mohd Izaan berkata laporan berhubung kejadian itu diterima dari wad kecemasan Hospital Kota Marudu yang memaklumkan seorang pesakit cedera akibat tertembak senjata buatan sendiri. 

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa yang juga suspek di dalam kes itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut. 

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM5, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.  – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1919