Cukai Jualan Produk Petroleum Bukan Hasil Usaha Warisan Plus Saja, Kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata walaupun cukai jualan negeri produk petroleum diwartakan pada 2018 iaitu ketika pentadbiran Warisan Plus, namun usaha merealisasikannya dilakukan sebelum itu.

Katanya ketika menggulung ucapan Belanjawan Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri, usaha itu melalui beberapa proses iaitu sejak 2014 apabila kajian mula dilaksanakan.

“Usaha untuk merealisasikan cukai jualan negeri produk petroleum ini tidak bermula dan tidak berakhir setakat tarikh serta tempoh pewartaan berkenaan semata-mata, kerana usaha ini dimulakan dan dilengkapkan oleh proses awal sebelum perwartaan dan proses selanjutnya selepas pewartaan,” katanya.

Hajiji menjelaskan Kementerian Kewangan membentangkan “Study on the state sales tax: Current administration and future prospect” kepada Jemaah Menteri pada 2014, yang kemudian secara prinsip bersetuju rundingan pelaksanaan cukai jualan negeri bagi produk petroleum dimulakan.

Hajiji berkata Petronas hanya mendaftar dan dilesenkan bawah cukai jualan negeri pada 15 Dis iaitu lapan bulan selepas cukai itu berkuatkuasa pada 1 April, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan negeri.

Oleh itu tidak adil untuk hanya berterima kasih kepada pentadbiran Warisan, katanya.

“Sekiranya ada ahli yang berhormat meminta kita berterima kasih dan memberi pengiktirafan terhadap pengenalan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum, seadil-adilnya kerajaan perlu merakamkan ucapan penghargaan buat semua yang terlibat sejak 2014,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kerajaan Sabah kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memastikan Petronas melunaskan hak Sabah, dan juga kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam “perjuangan ini sejak dari awal”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3182