Empangan Kaiduan Papar Tetap Diteruskan

KOTA KINABALU: Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain dijadikan bahan politik, Pembantu Menteri Kerja Raya, Limus Jury, berkata projek Empangan Kaiduan di Papar akan tetap diteruskan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kerja Raya membuat kajian yang empangan itu harus dibina bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar Papar dan Kota Kinabalu.

“Kementerian sudah mengkaji pelaksanaan empangan Kaiduan untuk selesaikan masalah air di sekitar Papar dan Kota Kinabalu.

“Empangan Kaiduan tetap dilaksanakan dengan mengikut penilaian yang diberikan oleh IDS (Institute of Development Studies) dan UMS (Universiti Malaysia Sabah),” katanya menjawab soalan tambahan daripada ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang, berhubung keputusan Jemaah Menteri mengenai projek Empangan Kaiduan pada sidang DUN Sabah.

Sebelum ini, projek Empangan Kaiduan dibantah NGO Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan (TAKAD).

TAKAD turut kecewa pentadbiran lepas mungkir janji membatalkan projek berkenaan.

Jurucakapnya, Diana Sipail, berkata apa yang sebaliknya berlaku ialah kerajaan Warisan Plus hanya sekadar menukar nama Empangan Kaiduan kepada Empangan Papar dan menaikkan kos projek dari RM2 bilion ke RM3 bilion.

Selain itu, projek berkenaan turut menjadi bahan kempen pada pilihan raya negeri (PRN) lalu terutama daripada Gabungan Rakyat Sabah.

Antaranya Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berpendapat rakyat amat marah dengan kerajaan Warisan Plus sebelum ini kerana meneruskan projek itu.

Mereka mendakwa projek berkenaan bakal menjejaskan alam sekitar serta kehidupan penduduk kampung di sekitar kawasan empangan itu bakal dibina.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *