20,000 Usahawan Sabah Terjejas Terima Bantuan RM1,000

Peniaga Sayur Di Pekan Kundasang

KOTA KINABALU: Seramai 20,000 usahawan di seluruh Sabah sudah mendapat manfaat bantuan ‘one-off’ RM1,000 bagi meringankan beban mereka.

Menteri Pembangunan Perindustrian negeri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, pihaknya sedar ramai usahawan terutamanya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas terutamanya daripada segi kewangan sepanjang pandemik Covid-19.

Dr Joachim Gunsalam

“Kerajaan negeri juga menyediakan bantuan kepada usahawan IKS melalui program Bantuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (BAIKS) dan setakat ini, 1,070 usahawan sudah mendapat manfaat daripadanya.

“Ia berupa geran pembelian mesin dan kelengkapan serta pembungkusan produk kepada usahawan. Setakat ini, RM10 juta sudah dibelanjakan untuk membantu usahawan ini.

“Kerajaan negeri juga tidak melupakan usahawan mikro dan kotej dengan menyediakan bantuan kewangan sekali bayar RM1,000 untuk meringankan beban aliran kewangan mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Joachim berkata, kerajaan negeri juga menyediakan platform pemasaran digital kepada usahawan.

“Kami sudah melancarkan platform e-dagang untuk memasarkan produk IKS secara dalam talian yang dinamakan Gobiz dan setakat ini, berjaya membantu meningkatkan pemasaran produk kepada lebih 155 usahawan IKS Sabah.

“Selain itu, kami juga mewujudkan Pusat Produk IKS dikendalikan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan untuk kemudahan usahawan IKS Sabah.

“Setakat ini, Pusat Produk IKS ini mempunyai lebih daripada 1,000 jenis produk IKS yang boleh dijual,” katanya.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Pasaraya Bataras bagi memasarkan produk usahawan.

Selain itu, kerjasama dengan SIRIM Berhad juga dilaksanakan melalui program ‘Fraunhofer’ untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat IKS di Sabah.

“Di bawah program ini, kerajaan menyediakan geran RM250,000 kepada setiap IKS yang layak untuk menerima pembiayaan peningkatan-teknologi melalui automasi dan inovasi.

“Pada tahun ini, 25 syarikat sudah menerima bantuan di bawah program ini,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2295