Rakyat Sabah Tak Perlu Kuarantin Wajib Balik Dari Brunei

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju memberi kelonggaran rakyat Sabah yang berada di Brunei untuk masuk ke negeri ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, bagaimanapun individu yang ingin masuk ke Sabah masih tertakluk dengan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) untuk melakukan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Individu (yang ingin memasuki Sabah) diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19.

“Keputusan ujian saringan mestilah dalam tempoh satu hingga tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Masidi yang juga jurucakap rasmi perkembangan harian Covid-19 mengumumkan kerajaan negeri memberi kebenaran individu dari Brunei memasuki Sabah menerusi jalan darat atau udara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini berikutan Brunei tidak termasuk dalam senarai 23 negara yang disekat kemasukan ke Malaysia.

Dalam kenyataan media yang sama, Masidi turut memaklumkan saringan Covid-19 secara besar-besaran dibuat di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau bermula hari ini.

“Hasil saringan dijadualkan diketahui esok dan akan menyumbang kepada pertambahan statistik kes baharu di daerah Tawau,” katanya.

Hari ini, Sabah mencatatkan jumlah kes positif baharu Covid-19 sebanyak 260 kes dengan tiga kes kematian dicatatkan di Sandakan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1760