Industri Pelancongan Sabah Tidak Akan Pulih Serta Merta – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Pemulihan industri pelancongan di Sabah tidak akan pulih secara serta-merta biarpun setelah vaksin Covid-19 diperoleh.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, proses ini memerlukan masa bagi memulihkan keyakinan pelancong yang masih khuatir dan takut dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, jika dilihat operator pelancongan juga perlu mengambil masa untuk menghidupkan kemudahan yang hampir patah kerana pemberhentian aktiviti pelancongan sejak Mac lalu.

“Walau bukan mudah untuk menjadikan sektor pelancongan Sabah kembali bugar tapi ia bukan mustahil.

“Ia boleh dilakukan cuma akan mengambil masa yang agak panjang. Jadi jangan berharap industri ini akan pulih serta-merta. Ia akan mengambil masa kerana perlu mengambil kira faktor lain dan pelancong dari negara lain yang menjadi sumber pelancongan di Sabah.

“Kita buka sempadan bukan bermakna mereka berduyun-duyung datang. Ini memerlukan perancangan teliti yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai proses pemulihan industri pelancongan Sabah.

Menurutnya, pemulihan sektor ini memerlukan perancangan teliti dan menyeluruh dan masa yang praktikal untuk dicapai serta sudah pasti memerlukan jumlah kos yang besar.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM25 juta setahun kepada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi merancakkan semula usaha mempromosi sektor pelancongan di negeri ini.

Namun, peruntukan tambahan diperlukan untuk melaksanakan publisiti serta menarik semula pelabur dan syarikat penerbangan untuk beroperasi di Sabah.

“Sebagai kesimpulan, bukan mudah untuk menganggarkan jumlah peruntukan sebenar yang diperlukan untuk memulihkan semula industri pelancongan memandangkan isu-isu berkaitan hambatan serta kesukaran sebenar hanya akan ketahui apabila kegiatan-kegiatan rantaian ekonomi berkaitan pelancongan mula beroperasi kelak.

“Kementerian Pelancongan sedang dalam proses menyediakan anggaran peruntukan yang diperlukan melalui Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan yang diwujudkan di bawah STB,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost