Polis Tangkap Dua Lelaki Guna Laluan Tidak Sah Menumbok-Labuan

Dua lelaki dibawa ke balai polis Labuan.

LABUAN: Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan asing kerana disyaki memasuki Labuan dari Menumbok menggunakan laluan tidak sah kira-kira 4.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata warga tempatan berumur 20-an dan warga asing berumur 30-an yang menaiki bot dari Menumbok itu dipercayai mendarat di Pantai Tanjung Batu.

“Pantai Tanjung Batu bukanlah tempat pendaratan yang sah dan penangkapan dijalankan mengikut kes ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan,” katanya.

Menurut Farid, dua individu berkenaan ditangkap lalu dibawa ke balai polis mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan atas perbuatan cuai yang mungkin boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

Farid menegaskan penangkapan ke atas warga asing dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen dan pas pengenalan diri yang sah.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau dengan denda, atau kedua-duanya. 

Sabit kesalahan bagi Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya dengan sebatan tidak lebih enam (6) kali. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2431