Kes Positif Covid-19 Di Sabah Dijangka Meningkat Esok

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah dijangka mencatat peningkatan kes positif Covid-19 esok, berikutan saringan besar-besaran di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini, yang dibuat semalam dan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan saringan itu dijadualkan bakal diketahui esok.

“Sebab itu kita menjangkakan jumlah kes baharu di Kota Kinabalu akan meningkat,” katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, hari ini.

Saringan di PTS Manggatal membabitkan warga asing yang ditahan di pusat berkenaan.

PTS itu sebelum ini mencatat kes positif yang tinggi hingga mencetuskan Kluster Rumah Merah.

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat sebanyak 274 kes positif Covid-19 dengan dua kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 31,534.

Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 66 kes, diikuti Lahad Datu (66), Sandakan (38) dan Tawau (34), manakala Tuaran dan Penampang masing-masing mencatat 19 kes.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, daripada 274 kes positif terbabit, sebanyak 116 kes atau 42.3 peratus adalah berpunca daripada saringan kontak rapat di 14 daerah.

“Sebanyak 100 kes atau 36.5 peratus adalah daripada saringan kluster sedia ada, manakala saringan bergejala mencatat 36 kes atau 13.1 peratus, diikuti saringan komuniti sebanyak 12 kes atau 4.9 peratus dan 10 kes atau 3.6 peratus lagi adalah dari lain-lain kategori,” katanya.

Bagi kes sembuh, katanya, seramai 265 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh sehingga kini sebanyak 28,690 orang.

Baki seramai 1,857 pesakit masih menerima rawatan, masing-masing 640 orang di hospital dan 1,217 orang di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) dengan 63 orang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, zon merah di Sabah kekal sebanyak 14 daerah iaitu Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Tawau, Tuaran, Penampang, Kota Belud, Putatan, Papar, Kudat, Keningau, Semporna, Pitas dan Beluran.

Zon hijau juga kekal di dua daerah iaitu Nabawan dan Sipitang, manakala daerah selebihnya iaitu Kota Marudu, Kinabatangan, Telupid, Tenom, Kuala Penyu, Kalabakan, Tongod, Tambunan, Beaufort, Ranau dan Kunak berada dalam zon kuning. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *