PKPB: Rakyat Brunei Dibenar Masuk Sabah – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi kebenaran individu dari Brunei Darussalam memasuki Sabah menerusi jalan darat atau udara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, individu dari negara berkenaan juga akan tertakluk kepada syarat menjalani ujian saringan tiga hari sebelum perjalanan sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP PKPB Sabah.

“Keputusan ini dibuat memandangkan Brunei tidak termasuk dalam senarai 23 buah negara yang disekat kemasukan ke Malaysia.

“Saya juga turut difahamkan Brunei tidak mencatatkan kes baharu sejak tujuh bulan lepas dan langkah ini juga dijangka dapat merancakkan sektor ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas mengenai perkembangan harian Covid-19 di Sabah secara maya, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan kemasukan individu dari negara lain yang tidak tersenarai dalam 23 negara yang disekat masuk ke Malaysia.

Katanya, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan berkenaan perkara terbabit dari semasa ke semasa. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *